Pokok Bangun-Bangun (sejenis ati-ati hijau)
Plectranthus amboinicus
Pokok bangun-bangun ini juga dikenali sebagai bebangun, pokok ubat batuk, raja bangun, hati-hati hijau atau sedingin ataupun nama saintifiknya Plectranthus amboinicus/ Coleus amboinicus dan merupakan sejenis herba wangi dan boleh dimakan. Ia juga dikenali sebagai Mexican mint.
Tumbuhan ini selalunya dimakan sebagai ulam dan juga digunakan sebagai ubat tradisional. Pucuk muda bangun-bangun segar dimakan dengan cecahan seperti sambal belacan, budu, cencaluk atau lain-lain pencecah. Rasanya manis, lemak sedikit pedas serta berangin.
Pokok bangun-bangun atau dikenali juga dengan ati-ati hijau biasa ditanam sebagai ulaman dan penyedap rasa dalam masakan. Pucuk mudanya dijadikan ramuan untuk sambal tempoyak. Ia juga dijadikan ramuan untuk nasi ulam. Bangun-bangun senang membiak melalui keratan batang dan daun. Medium pilihan ialah tanah gembur yang mempunyai pengaliran air yang baik dan terdedah kepada cahaya matahari.
Bangun-bangun terkenal dalam perubatan Melayu dan Cina terutamanya untuk menjadi penawar kepada batuk, mual-mual , sakit kepala dan masalah pencernaan. Caranya sehelai daun bangun-bangun diseduh dengan air panas dan dimasukkan sedikit gula batu sebelum di minum.
Jusnya pula boleh dijadikan ubat untuk asma, batuk dan bronkitis. Daun nya yang dilumatkan dapat menjadi penawar gigitan serangga bisa dan kulit melecur dengan cara menampal daun lumat yang telah menjadi seperti pes pada bahagian yang terlibat.
mengandungi air, gula, karbohidrat, serat, mineral, vitamin, alkoloid, musilaj (lendir), polifenol, saponin, glikosida flavonol, vitamin C, vitamin B1, vitamin B2, beta karotin, niasin, karvakrol, kalsium, lemak, protein, dan minyak volatil.
Ia dimakan bagi melancarkan pengaliran darah yang tidak lancar, merawat sembelit, asma, haid bermasalah, kencing bernanah, sakit kepala (migrain), sakit perut, batuk, pelbagai penyakit kulit, gastrik dan buasir. Ia juga dimakan bagi meningkatkan selera makan, daya imunisasi badan, kesan awet muda dan mendapatkan kesan antioksidan.
Membantu mengubati Batuk, Asma atau Sakit Kepala. caranya rebuskan dulu daun bangun bangun ini untuk mendapatkan ekstraknya sebelum diminum sebagi jus atau tonik. Orang yang pitam juga boleh dikejutkan dengan menyuakan ramasan daun tadi kepada mereka.
Kesahihannya tidak dapat dipastikan.